Friday, June 13, 2008

KENANGAN BERSAMA ARWAH EMAK
Mak uda

Seingat saya tiga (3) sifat emak yang menonjol ialah KASIH SAYANG, RENDAH HATI DAN PEMAAF. Kerapkali emak mencurahkan rasa hati ia berakhir dengan tiga sifat ini. Satu ketika emak bercerita tentang pengalamannya di Mekah yang memang syahdu jika di fikirkan. Seorang saudara menegur emak ‘jahilnya kau’ bila emak melakukan kesilapan atau bertanya manasik haji. Apa yang emak jawab ialah’ ialah aku ni memang bodoh, kau aje yang pandai’ agaknya dengan sikap rendah hati emak ini terus saudara itu insaf, ‘eh..sah maafkan aku, terlepas kata kau jahil..ni Mekah ni aku tak nak nanti berdosa kita maafkan aku dek.’ Saudara itu merintih. “ah.. aku tak pernah ambil hati..ajarlah aku kalau akau tak tau.’ Tenang emak menjawab. Atas dasar kasih sayang emak tak pernah sanggup memutuskan silaraturrahim apatah lagi dapat suami arwah abah yang tak akan layan perkara remeh gadoh dengan saudara mara. Saya harap sangat sikap emak ini kita warisi kerana ia merupakan asas amal soleh yang berpanjangan. Kalau kita bergadoh kerana sebab harta dan wang ia akan kita tinggalkan semuanya, tapi kalau kita berbaik sangka dan memaafkan kita dapat dua ganjaran, satu amal soleh kedua di kasihi orang yang memusuhi kita bila kita dah tak ada di dunia ini.

Masa kecil saya biasa menjual nasi lemak dengan kawan-kawan di sekolah kerana emak akan bangun pagi buat nasi lemak. Dua sasaran sekaligus dengan berbuat demikian, satu sarapan kami beres sebelum sekolah, kedua dapat hasil jualan yang merupakan pendapatan emak. Apa yang seronok ialah emak akan buat nasi lemak, modal beras dan chili, ikan bilis dari barang rumah. Bila abah kata ‘mengelat’ berniaga tanpa modal emak akan kata inilah duit yang abah nak beri padanya tapi selalu tangguh, jadi emak buat strategi begini. Habis modal abah. Saya rasa cara begini bagus di buat kalau ada di kalangan suami yang berat nak memberi isteri duit. Perniagakan apa-apa modal dalam rumah tu, asalkan jangan jual segala keperluan dan perabut dahlah!

Satu insiden yang saya tak akan lupa ialah waktu saya di serang demam yang agak teruk. Saya jarang sakit, seingat saya itulah sekali waktu umur saya 10 tahun. Agaknya sakit saya memang teruk sebab saya lihat emak menangis dan membaca selawat fateh sampai saya hafal selawat itu sampai sekarang. Pada saya itu satu harta yang emak beri pada saya dalam keadaan emak paling ikhlas dan selawat itu terus menusuk masuk ke jiwa saya terpahat tak akan hilang insyaAllah. Siapa yang nak tahu selawat fateh sila rujuk buku doa, ia satu selawat paling mujarab dalam keadaan kesempitan insyaAllah. Begitu juga setiap kali saya akan menghadapi peperiksaan besar emak akan bacakan air surah yassin letak dalam gelas dan paginya saya minum. Satu pagi saya ter’buang’ air itu menyangkakan air biasa kerana saya nak buat air kopi. Punyalah marah emak sampai saya rasa rugi yang amat besar sekali. Sejak itu saya akan tanya dan pastikan air atas meja itu telah di baca yassin atau tidak. Alhamdulillah berkat air surah yassin sampai saya masuk universiti Malaya saya amalkan dan saya memang yakin ayat Alquran adalah cahaya pada hati. Saya harap anak-anak cucu amalkan apa yang arwah atuk mak ajar pada anak-anaknya kerana ia satu warisan yang akan berkekalan hingga akhir hayat.

BERSAMBUNG…

No comments: