Friday, June 13, 2008

MUSAFIR YANG MENDIDIK

Syukur ke hadrat Allah SWT yang mengizinkan program musafir pertama Kohatsa ke JAKARTA, Indonesia pada pagi 1 Disember hingga lewat malam 5 Disember 2006. Sejumlah 12 anggota menyertai musafir ini, dua adalah anggota Kohatsa 2. Saya yakin pengalaman bersama ini tidak akan di lupakan oleh semua yang bermusafir sepanjang hayat.

Penerbangan dengan Air Asia Indonesia alhamdullilah selamat pergi dan balik, syukur kehadrat Allah kerana memungkinkan musafir kami di jalankan mengikut sunnah Rasulullah saw yang antara lain maksud hadis “jika kamu berpergian tiga orang atau lebih, lantiklah seorang jadi ketua.” Ketua Musafir kami ialah Pak Uda yang amat perihatin dengan kesejahteraan anggota musafir dari awal hingga akhirnya hingga dapat mempermudahkan pemeriksaan imigresen dan kastam.

Hari pertama penerbangan lewat sedikit, lebih 1 jam Pak anjang menunggu di Airport Seokarno Hatta Jakarta. Waktu di Jakarta satu jam lewat daripada waktu Malaysia, maksudnya kalau Subuh di Malaysia jam 5.30 pagi, waktu di Jakarta 4.30 pagi. Kami kemudian terus di hantar dengan dua van ke Taman Tebet Indah Tebet Emas C10, rumah CEO Takaful Indonesia yang merupakan bapa kawan baik Mustofa Mubarak sewaktu di Maahad Tahfiz Pasir Tumbuh Kelantan. Kebetulan tuan rumah dan isteri juga bermusafir ke Dubai, maka kami lah yang menjadi tuan rumah. Lauk korma daging dan rendang ayam yang mak uda bawa enak kami makan untuk tengahari itu, nasinya di masak bibik Nani sebelum kami tiba.

Bagi kaum lelaki terpaksa miss solat Jumaat kerana bila kami sampai ke tempat penginapan solat Jumaat baru selsai. Sebaik lepas solat jama’ taqdim berjemaah kami bertolak ke pasar buku. Masya Allah…begitu banyak buku-buku agama dan kontemporari serta novel berunsur islam yang menarik hati kami. Pak Usu orang yang paling gembira kerana dapat mencari buku-buku rujukan yang awal-awal lagi telah di senaraikannya. Kami juga di peringatkan tentang ekses baggage kalau buku-buku berat hendak dibawa balik ke Malaysia. Kemudian kami ke Matahari supermarket Atrium membeli belah, bekalan air minuman dan keperluan makanan untuk musafir 4 hari. Malam itu lauk makan tengahari terus di perhabis dan kami rehat dengan nyaman di rumah besar kawasan elit. Yang lebih seronok ialah semua tidur sebilik, kerana kami hanya gunakan dua bilik daripada enam bilik, wanita berkongsi satu bilik, lelaki yang satu lagi. Tinggal sebilik ni pun kami lebih mengenal tabiat masing-masing terutama bila kecemasan nak guna bilik air. Pak Uda dan Mak Uda terkenal dengan menggunakan bilik air paling lama! Yang paling boring ialah siapa paling muda kena jadi utusan dan suruh itu ini, maaf sajalah pada anggota Kohatsa 2.

Malam itu juga mak cik Noli melalui sahabat di Jakarta menyusun keenderaan tambahan untuk dua hari musafir kerana Pak Anjang hanya dapat sediakan satu van, dia sendiri ada urusan di Bangkok. Kami masing-masing juga menyemak tujuan ke Indonesia, ada yang ingin bertemu sahabat se Islam, ke Gema Insani dan Pustaka Syaamil Press, ke Daruttauhid Bandung, nak ke tailor buat baju dan pastinya membeli belah tanda lawatan ke bandaraya macet (kesesakan jalanraya) ini. Namun kami tak lupa matlamat menjadikan musafir satu ibadah untuk mendapat keredhaan Allah iaitu selalu mengutamakan perentah Allah dalam ibadah khusus atau umum, maksudnya sewaktu bermusafir ini jangan sekali-kali menggadaikan prinsip Islam, contohnya tak solat ke, tak tutup aurat, melakukan aktviti yang di larang dan sebagainya. Ia juga satu ibrah atau iktibar kerana dapat melihat masyarakat lain daripada kita di Malaysia, yang baik jadikan tauladan, yang tak elok jadika sempadan. Saidina Umar r.a juga pernah berkata kita takkan kenal seseorang hinggalah kita bermusafir bersama.

Hari Sabtu, pagi kedua musafir kami solat subuh berjemaah di dewan bahagian atas rumah. Ternyata tuan rumah biasa menerima kunjungan dan ramai tamu kerana di bahagian atas penuh dengan peralatan tilam bantal. Malangnya alat penghawa dingin rosak jadi kami pun macam duduk dalam “ spa ” setiap kali bersolat dengan keringat menitik didahi muka masing-masing. Dalam hati saya berkata-kata, kalau hangat begini tak tahan bersiap-siaplah mengelakkan diri dari panas api neraka yang bahangnya menghanguskan di akhirat nanti. Apa pun kami tetap bertahan bila Pak Usu sudi menyampaikan tazkirah kepada kami mengenai sikap bersyukur dan kelebihan bermusafir serta iktibar yang diperolehi daripada musafir ke kota yang bilangan umatnya macam semut ramainya!

Selepas sarapan roti canai yang di siapkan mak anjang kami dengan girang menuju ke tempat membeli belah di Pasar Tanah Abang. Pemandu van sewa namanya Mokhtar, van satu lagi kepunyaan pejabat pak anjang pemandunya Yadi yang masing-masing bijak memandu di bandaraya macet ini. Kami perhatikan pemandu di Jakarta ini sikap toleren begitu tinggi, tak ada pergeseran atau pertembungan kereta kerana masing-masing pandai mengelak serta berhenti memberi jalan kepada pemandu lain. Saya rasa jika pemandu KL dah banyak perlanggaran berlaku! Satu lagi yang kami lihat di sini ialah semua orang berkerja keras untuk mencari sesuap nasi, tak kira kerja apa walaupun menjual surat khabar di jalanan.

Tak lama kemudian kami pun sampai ketempat yang di tunggu. Masa yang di berikan 9 pagi hingga jam 2 petang, tambah lagi jadi 3.30 petang. Kami sempat makan tengahari di tingkat 8 dan bersolat di tingkat 14 banguan belibelah baru yang di lengkap escalator dan berhawa dingin itu. Terlalu banyak gerai dan penjual borong sampai kami keliru dan rambang mata tak tau nak beli apa. Ada yang sesat kerana terlalu banyak pintu keluar, malah keluarga pak long tak bergajak dari tingkat bawah kerana miscommunication mungkin terlalu banyak pilihan pada satu-satu tingkat. Petangnya sebahagian kami ke Supermarket PT Lion Super, beli ikan bakar dan mi untuk persiapan mak cik noli buat mi bandung. Mak usu seperti biasa membeli bunga hiasan untuk hadiah kepada Tuan rumah Puan Rabeah. Malamnya kami berkongsi barang-barang yang di beli, ada yang sempat berjualbeli kerana bijak membeli lebih dari satu barang kerana pasti ada yang sanggup membeli, antaranya mak ngah dan mak uda yang sedia membeli apa saja untuk di bawa balik ke Malaysia. Ada saja orang yang nak di berikan hadiah, tak akan habis senarai penerima pemberian mereka. Yang seronokya kami masing beri memberi hadiah sebagai tanda kasih sayang dan persaudaraan ikhlas. Malam itu kami tidur dengan lena dan nyaman kerana kecapekan (letih)

Ahad musafir hari ketiga, kami masih menyewa van dengan bayaran rupiah 400,000 (untuk 24 jam). Rancangan hari ini melawat ke mini Indonesia. Syura atau mesyuarat pagi itu ialah singgah membeli belah selepas melawat mini Indonesia dan tidak bermalam di Bandung pada hari isnin Tup..tup..kami tukar agenda, shopping dulu sampai 11.30 pagi. Pak Usu tegur kenapa ubah keputusan mesyuarat tapi kami pakat ada alasan kukuh untuk ke Pasar Tanah Abang kerana jam 3 petang hari minggu kedai tutup, malah banyak kedai tak buka pun hari ahad. Lagi pun syura perkara harus boleh di ubahsuai ikut keadaan, open-minded lah katakan, pak usu mesti tak suka alasan ini. Dengan keputusan ini lepaslah gian si para pembeli belah, tapi strateginya masing-masing hanya tuju tempat tertentu saja untuk menjimat masa. Selepas shopping kami kemudiannya bertemu di Masjid Agong Ibu Tin di Tamini (Taman mini Indonesia). Lepas solat jama’ taqdim kami pun melawat taman-taman replika daerah-daerah di Indonesia. Kami berhenti di daerah Minangkabau makan nasi padang. Ok juga, dan lauk bekalan kami tampong sama. Di kawasan berikutnya sebahagian kami dapat melihat persembahan Kuda Kepang dan orang naik sheikh. Saya rasa ngeri orang yang berani bermain jin dan minum benzin (petrol) dan makan kaca semata-mata ingin menghibur orang ramai. Saya takut sangat sikap syirik ini yang membuat umat manusia hina dan sempit rezeki.

Pak anjang yang balik dari Bangkok sudah menunggu bila kami sampai rumah petang itu. Malam itu giliran mak usu masak mi maggi. Tapi tiga orang daripada kami ke supermarket beli buah-buahan untuk hamper nak beri tuan rumah. Lepas tu kami menyimpang ke Pizza hut. Kata Mokhtar pemandu van sewaan tu seumur hidup dia tak pernah menjamah pizza. Waadduh… service punya lewat pak….oder take away silap input pulak pak…hamper 3 jam kami di situ. Tempat itu memang kawasan elit dan ramai beragama kristian mampu datang ke situ. Kami tahu mereka kristian sebab mereka berdoa cara kristian bila nak makan. Balik rumah kami di kunci di luar sebab bibik Nani ingat semua orang dah capik tidur awal keletihan! Lagi pun esok pagi kami akan bertolak ke Bandung awal pagi. Pak Mokhtar terus pulang malam itu setelah di bayar sedikit upah dan bayaran sewa untuk di beri kepada bosnya.

Pagi hari keempat musafir – lepas solat dan taklimat perjalaan pagi-pagi lagi kami sarapan dan persiapan sandwich di sediakan sebagai bekalan musafir ke Bandung. Kami memutuskan untuk balik ke Jakarta petang itu juga dan khabarnya tuan rumah juga akan sampai malam itu. Alhamdullilah perjalanan ke Bandung mulai jam 5.30 pagi itu mudah dan kurang kesesakan jalanraya. Tak sampai tiga jam kami dah sampai ke Bandar keempat terbesar di Indonesia itu. Tak jadi berhenti berkelah di taman bunga kerana tak ada bilik kecil (bilik air) kami terus singgah di masjid Unversti Islam Bandung (UNISBA) dan alhamdlillah sempat solat dhuha di situ. Mak cik noli pula ada tempat yang hendak di tujunya di Bandung iaitu Pustaka Syaamil dan Daruttauhid, kerana hari tu hari dia lah . Kami ke Daruttauhid dulu dan memang rezeki kami kerana terserempak dengan pengasas Daruttaudid, Pak Aa Gymn yang baru selesai ceramah pagi. Kebetulan kesah Pak Aa Gymn baru keluar akbar di Jakarta tentang perkahwinannya dengan isteri kedua yang di rahsiakan! Pagi itu Pak Aa Gymn bertemu pengikutnya untuk menjelaskan keadaan itu. Kami sempat minum pagi dan makan kek brownie di salah sebuah kedai di situ. Sebahagian kami membelibelah di kawasan perkampongan Daruttauhid, buku, stoking tudung dan pakaian. Saya teringat perkampongan Al-Arqam satu ketika dulu. Beza dengan AlArqam, Daruttauhid bebas menerima siapa saja dan di senangi banyak pihak. Malah ada yang mencalonkan Pak Aa Gymn jadi presiden Indonesia satu hari nanti. Pengikutnya pula anak-anak muda dan dia juga handsome orangnya dan bagus penampilannya. Berkahwin dua pun dengan janda beranak tiga. Sunnah lah tu, beritanya isteri keduanya bakal hafizah. Seronok melihat dan mendengar di Negara Indonesia ada tokoh hebat macam Pak Aa Gymn, di Malaysia mungkin tak semudah itu kecuali penampilan dalam jawatan tinggi!

Kami kemudiannya ke Pustaka Syaamil, iaitu tempat percetakaan Al-Quran memakai logo Syaamil al-Quran selain buku-buku agama. Banyak pembelian hari itu dan kami sempat merancang menempah kalender kohatsa 2007. Solat jama’ taqdim di tunaikan di bilik solat Pustaka Syaamil dan kami di layan sebagai tamu dengan jamuan ringan serta lawatan. Satu latihan kepimpinan bagi Mustofa Mubarak, Pengerusi Kohatsa 2 yang jadi wakil memberi ucapan balas terimakasih kepada tuan rumah, alhamdullillah, inilah tujuan kita bermusafir melatih kepimpinan dan jatidiri. Makan tengahari Pak Anjang belanja nasi padang mewah sekali dan penggemar nasi padang, antaranya Pak Long dan Pak Uda makan dengan enaknya. Tak lupa lepas itu membeli kek brownie istimewa Bandung. Kemudian ke kedai factory outlet Heritage. Memang Bandung menjadi tempat membuat pakaian berjenama dan banyak pilihan yang dapat di beli di sini walaupun agak mahal di banding dengan Pasar Tanah Abang di Jakarta. Masing-masing dapat membeli kasut, beg pakaian dan hand beg serta pakaian anak-anak. Dalam hujan rintik petang itu kami bertolak pulang ke Jakarta dan sampai dengan letihnya jam 10 malam. Tuan rumah Hj Zamri dan isteri tiba 30 minit kemudian daripada lapangan terbang, macet teruk katanya.

Sebahagian kami sempat berkenalan, makan malam dan berbual ringkas dengan tuan rumah yang ternyata amat ramah. Dalam kepenatan balik musafir dari Dubai suami isteri itu sempat melayan tamu yang ramai dalam rombongan kami. Malam itu kami mula packing barang dalam beg dan mengira muatannya supaya tidak melebehi had 15 kilo yang di tetapkan oleh syarikat penerbangan Air Asia bagi setiap seorang penumpang. Ramalan kami ekses baggage dalam 10kg dan masing-masing di minta standby wang dalam RM20 untuk tujuan itu. Satu van membawa barang juga di tempah dengan bayaran Rupiah 275,000, kami bayar Rp300,000 (kira-kira RM120).

Hari akhir musafir pagi-pagi lagi kami berjemaah dan tazkirah ringkas. Kawan Mak Uda datang mengambil barang dan sempat kami memberi lebihan makanan kering yang di bawa daripada Malaysia kepadanya. Menurut teman itu barang-barang di Indonesia ini akan lebih murah jika di perolehi terus dari pembekal antaranya di kota-kota Bandung, Solo dan Jogjakarta. Dalam pemikiran saya mungkin Kohatsa 2 boleh rancang pergi ke Solo enam bulan dari sekarang. Mungkin Mak Usu boleh bantu reserve tambang murah awal-awal lagi, tambang syarikat penerbangan KLM pun murah khabarnya.

Selepas sarapan yang Mak Long sediakan kira-kira jam 9 pagi kami keluar untuk shopping kali terakhir di Pasar Tanah Abang dan Pasar Baru. En Zamri pula ke Bandung pagi tu atas tugasan rasmi. Sewaktu berbual dengan Puan Rabeah isteri tuan rumah di meja sarapan kami mulai faham amalan hidupnya iaitu tidak suka membazir. Pengalaman tinggal di negara yang rakyatnya ramai dalam keadaan fakir mengajarnya bahawa ramai manusia yang tidak bernasib baik seperti orang di Malaysia. Beliau juga mengesahkan seorang ahli keluarganya yang suka membazir sentiasa hidup dalam kesempitan. Saya menyampuk bahawa sikap membazir itu contoh tidak berakhlak kerana ada ayat al-Quran yang memerintahkan akhlak supaya jauhkan dari amalan membazir kerana ia saudara syaitan! Hai, kekadang komen kena hidung sendiri! Tapi saya amat yakin akhlak secara menyeluruh ada kaitan dengan rezeki. Sebagai contoh kalau kita tidak berakhlak dengan Allah, antaranya cuaikan solat dan tidak bertanggungjawab atau tidak jaga amanah, pasti susah hidup kita, tak ada berkat. Begitu juga kalau kita tak hormat ibu bapa atau saudara mara, maksudnya sombong, rezeki liat nak kekal, ada rezeki tapi sentiasa dalam kesulitan dan resah gelisah, wa Allahu’alam.

Tiba-tiba saya terbayang ramai lagi manusia yang tidak beraklak mulia yang sempit hidupnya. Ramai yang miskin bukan sekadar wang ringgit sahaja tapi miskin keyakinan kepada Allah dan miskin budi pekerti terutama tidak pandai bersyukur. Renungan akhir ini amat terkesan kepada saya kerana saya juga dapat membuat pemerhatian bahawa rata-rata kesempitan hidup yang menyebabkan manusia mengejar pangkat dan harta adalah kerana kurang akhlak, rakus dan menzalimi orang lain. Bayangkan seorang pegawai tinggi yang semaunya mengaut keuntungan semasa mempunyai kuasa dan ingin kekal berkuasa. Ia contoh akhlak yang tidak di senangi ramai orang dan inilah puncanya mengapa kesempitan hidup berlaku di mana-mana.

Peristiwa di Pasar Tanah Abang kali terakhir membuat kami panik. Abang Nordin yang tak pernah hilang daripada tempat menunggu selama tiga kali ke tempat itu tidak muncul-muncul pada waktu di janjikan. Yang problemnya Abang Nordin tak bawa hanfon pulak agar mudah di hubungi. Pak Anjang resah mencari di sana sini, Pak Uda juga meninjau-ninjau kerana dia juga pernah tak jumpa pintu besar tempat pertemuan sebelum ini. Mak Anjang menunggu di sebelah tempat duduk yang biasa kami berkumpul takut kalau-kalau Abang Nordin tak nampak kami di sebelah kiri. Tepat jangkaannya kerana Abang Nordin menuju ke tempat menunggu sebelah kanan hampir 25 minit lepas itu. Barulah lega dan Pak Anjang datang kembali tepat untuk berjumpa kumpulan Mak Usu yang telah pergi dulu ke Pasar Baru.

Makan tengahari Pak Anjang masih lagi belanja nasi padang. Bebanyak terima kasih kerana melayan kami dengan baik di Jakarta. Setiba di rumah Puan Rabeah kami gesa-gesa packing barang, (sebahagian buku berat di tinggal untuk Pak Anjang bawa balik secara berasingan ), bersolat dan siap-siap nak bertolak jam 4 petang. Penerbangan balik dijadualkan pada jam 8.20 malam waktu tempatan, iaitu bersamaan waktu 9.20 malam waktu Malaysia dan di jangka sampai jam 11.30 malam waktu Malaysia. Sahabat kenalan lama Pak Uda yang kira-kira 15 tahun tidak bertemu, Taufiq Darus kesempatan datang untuk bertemu dan kami solat berjemaah sekali. Dalam kekecohan masa singkat itu kami juga tidak mau meninggalkan rumah yang kami menginap kotor. Ini juga akhlak tetamu dan bermusafir sekalipun jika menginap di hotel. Bagi kami musafir kali ini rezekilah sebab ada orang yang sudi mempelawa kita tinggal di rumah yang begitu selesa dengan pelbagai kemudahan seperti rumah sendiri. Ia kesempatan baik untuk saling lebih mengenali dan menghormati ahli-ahli rombongan melalui aktiviti berjemaah seperti solat dan makan minum. Inilah kelebihan apa yang kita selalu berdoa agar Allah mempermudah hidup kita.

Alhamdulillah perjalanan ke Lapangan Terbang Sukarno-Hatta juga mudah, jalanraya tidak macet (sesak) seperti yang di jangka tapi kami dapat perhatikan perjalanan ke Jakarta dari arah bertentangan memang sesak dengan keenderaan seolah-olah tidak bergerak. Dalam hati saya berdoa agar tidak ada di mana-mana tempat sewaktu perjalanan kesesakan seperti yang pernah Pak Anjang ceritakan dan ramai lagi alami. Jam 5.30 petang kami sampai ke airport dan tunggu check-in 6.30 ptg. Kami bergilir bersolat maghrib jama’ taqdim dan menunggu keputusan ekses baggage, 15 kg rupanya. Mula-mula kena 725,000 Rupiah (RM lebih 300) tapi kurang setelah dirunding dengan petugas syarikat Air Asia telah dikurangkan menjadi 525,000 Rupiah (Rm200 lebih). Mak Usu selaku Pengurus Kewangan rombongan telah kutip awal-awal duit ekses ini dan telah serahkan pada Pak Uda yang guna kad kredit bayar sebab wang Rupiah tak cukup. Sebelum rombongan memasuki dewan berlepas di airport, telah diadakan kalimah akhirah penutup program lawatan oleh Ketua Musafir dan Pengerusi Kohatsa yang masing-masing mengucap syukur kerana program berjaya di jalankan. Maaf bermaafan jika ada terlebih atau terkurang kerana pengalaman saya sendiri tak semudah itu mengendalikan musafir yang dapat berkerjasama seperti anggota Kohatsa. Saya pernah menyelesaikan kes bayaran ekses yang hamper mencetuskan perbalahan kerana masing-masing anggota musafir tidak sanggup menampung kos ekses orang lain. Pada saya iktibar musafir ialah selalu berbaik sangka dan melakukan sesuatu kerana Allah. Nawa’itu kena betul kerana kalau ada kepentingan yang lain ia pasti akan menimbulkan suasana kelam kabut dan perbalahan yang sangat-sangat tidak digalakkan.

Kepada Allah saya berdoa semoga program musafir ke tempat yang lain dapat kita anjurkan lagi di samping mengeratkan silaturrahim dan melatih kepimpinan di kalangan lapisan ahli Kohatsa 2. Saya juga ingin mengingatkan diri saya bahawa melalui pengalaman bersama kita dapat memaafkan kelemahan satu sama lain dan mendoakan yang terbaik kepada semua. Saya seronok dapat melihat kegirangan Pak Long dan Mak Long dalam program musafir ini, pendampingan Pati kepada kedua ibu bapa dengan berbelanja untuk mereka, keikhlasan dan pengorbanan Pak Anjang walaupun dia ada kerja yang sibuk, Mak Anjang dengan sifat toleran yang tinggi, komitmen Mak Cik Noli dengan sahabat-sahabat Jakarta, penyelarasan kewangan yang baik oleh Mak Usu, kegembiraan Pak Usu membelibelah tertama buku-buku yang di minatinya, ketenangan Pak Uda walaupun orang lain kecoh, keceriaan Mak Ngah kerana dapat membeli barang untuk Zainirah dan semua orang di Tangkak, penampilan Mustofa Mubarak sebagai tokoh barisan pelapis Kohatsa 2, kesabaran Pak Ngah melayani dan selalu mengekori Mak Ngah dan kata Mak Cik Noli keseronokan melihat Mak Uda ada saja shawl (kain selendang) baru yang di pakainya setiap kali habis shopping! MasyaAllah inilah kelainan yang ada pada diri masing-masing, tidak ada yang lebih baik antara kita kecuali yang bertaqwa. Mak Ngah sempat mencatit ilmu dalam musafir bila kita berkongsi pembacaan, antaranya konsep ibadah yang mesti di sertai taqwa, cinta Allah dan kerendahan. Amalan pula hanya sah bila ada keikhlasan dan ittaba’ iaitu mencontohi amalan Rasulullah saw.

Sekian dipersembahkan sedikit coretan peristiwa dan pengalaman manis program musafir Kohatsa yang julong kali diadakan. Segala yang baik adalah daripada Allah swt dan yang kurang dan salah itu adalah kelemahan saya. Kepada Allah jua saya bertawakkal semoga seluruh hidup kita menjadi ibadah semata-mata untuk mengharap keampunan dan mencari keredhaan Allah. Wa Allahu’alam.

Siap di taip di bilik 104 Hotel Suria
Kota Bharu, Kelantan

Tanggal : 10 Disember 2006

No comments: