Friday, June 13, 2008

MUSAFIR: SUDARA BEACH RESORT BACHOK KELANTAN

Kali ini saya bermusafir lagi, alhamdulillah ke serambi Mekah my second home, iaitu Kelantan Darulnaim. Perjalanan menuju ke Bachok jarak 15km tapi ke Sudara Beach Resort menghala ke Tuk Bali tambah 10 km lagi. Kami akan menghadiri seminar Pemantapan Pengajian Al-Qur’an kali ke 4 (Almultaqa Al-Qur’an Arrabi’) anjuran Maahad Al-Qur’an dan Bahasa Arab Al Manar dengan kerjasama Badan Tahfiz Al-Qur’an Sedunia mulai Isnin-Rabu 2-4 Jun 2008 bersamaan 27-29 Jamadil Awal 1429. Sudara Beach Resort terletak di Kg Telong, Kandis, 16310 Bachok, Kelantan di hiasi pesisiran pantai yang sungguh menarik, airnya tenang dan biru seluas mata memandang. Saya dan suami pernah ke tempat ini sewaktu bersama rombongan Ketua Setiausaha Negara (KSN) mengadakan mesyuarat dengan ketua-ketua Setiausaha dan jabatan. Dalam lain perkataan Sudara Beach Resort adalah tempat terpilih yang bertaraf 4-5 bintang di lengkapi swimming pool walaupun berhadapan dengan pantai.

Apa pun kali ini kehadiran saya dan suami tidak selaku VVIP. Kami di jemput menjadi peserta pemerhati seminar sebagai anggota baru alManar mewakili wakaf Kohatsa yang telah bersetuju menyertai institusi AlManar baru-baru ini insyaAllah. Sepanjang 3 hari seminar yang menggunakan bahasa penghantar bahasa Arab banyak KEKESALAN muncul di hati kecil kami. PERTAMA, betapa ruginya kami tidak faseh berbahasa Arab iaitu bahasa Alquran dan begitu indahnya mendengar hujah-hujah disampaikan dalam bahas alAlquran. KEDUA, alangkah HINAnya umat lslam kerana tidak menjaga kemuliaan alquran dan sekolah tahfiz sehingga begitu banyak sekolah terbiar, meminta-minta sumbangan orang ramai. Sekolah tahfiz juga gagal di iktiraf di peringkat antarabangsa kerana sebahagian besar institusi tahfiz alquran di lakukan secara sampingan, kecil-kecilan, bersendirian dan tidak profesional. Produk tahfiz kurang menyerlah dibanding dengan pelajar keluaran Ox-bridge (Universiti Oxford dan Cambridge) United Kingdom, Havard USA atau ijazah daripada banyak negara bukan lslam. Paling-paling keluaran tahfiz dan universiti alAzhar hanya laris sewaktu bulan Ramadhan untuk mengimamkan solat terawih. Di dunia koporat dan kerajaan pelajar tahfiz jarang sekali di beri pengiktirafan seperti mereka yang lulus daripada universiti luar negara, baik dari segi jumlah gaji, kedudukan dan pangkat. KETIGA, betapa RUGINYA saya dan ahli keluarga kerana kurang menekankan pengajian alquran dan hafazan dengan bersungguh-sungguh kerana Alquran adalah harta dan bekalan yang terbesar di alam akhirat. Saya TERHARU mengenangkan hujah ustaz Yakub yang gigih ingin menampilkan kemampuan umat Islam dalam bidang tahfiz Alquran ini terutama jika di kaji dari JANJI Allah dan Rasul kepada mereka yang memuliakan alquran, mempelajarinya, menghafalnya dan mengajarkannya. Alhamdulillah di akhir seminar telah di lancarkan Maktab Tansiq Asia Pasifik yang di sempurnakan Yang Berhormat Timbalan Menteri Besar Kelantan.

Maktab Tansiq merupakan ikatan dan gabungan sekolah-sekolah tahfiz yang menjadi anggota yang terdiri daripada negara-negara China, Thailand (yala, narathiwat dan patani), Indonesia (Acheh, Jakarta), Filipina, Malaysia (ppinang, perak, terengganu dan kelantan). Bagi kami berdua hanya berdoa supaya Kohatsa akan mewakili negeri Johor sebagai anggota baru tahun hadapan kerana memang rasa mulia memperjuangkan tahfiz alquran secara berjemaah, terancang dan bertaraf antarabangsa. Antara resolusi seminar ialah menyelaras kurikulum, tarbiyah dan aktiviti semua pelajar yang belajar di sekolah yang menjadi anggota dan ada kemunginan pelajar-pelajar ini berpeluang ,membuat lawatan ke sekolah di luar negara. Masing-masing mudir sekolah juga meperlihatkan kekuatan masing-masing dalam mengemudikan institusi mereka yang boleh dijadikan contoh antara satu sama lain. Dalam vcd dari negeri Cina saya lihat disiplinnya anak-anak tahfiz mempelajari alquran dan begitu ramai sekali. Saya rasa ini sahaja jalan untuk kita tampil dalam arena antarabangsa. Dalam umur yang mencicah warga emas kini saya diam-diam memasang azam untuk menguasai bahasa arab dan menghafal Alquran yang memang telah lama menjadi impian saya yang belum kesampaian.

Beberapa peristiwa indah dan sedih berlaku sepanjang seminar. Pertamanya kami adalah antara peserta yang terawal sampai. Meninjau-ninjau sekitar tempat seminar kami terbaca tanda ‘EATING HALL’ menujuk hala dewan makan. Maksud tanda itu ‘DINING HALL’ Elok lagi kalau guna bahasa arab ‘MUTHA’AM’ sebagai dewan makan. Tapi kami biarkan sahaja perkara itu menjadi kelakar kerana tak penting memperbetulkan perkara remeh. Dalam perjalanan ke Sudara Beach Resort juga kami berkenalan dengan pemandu teksi ‘haram’ yang mengambil penumpang dari dalam bas. Kami nak segera untuk solat subuh hingga tak terlihat yang pemandu itu tidak membawa teksi berlesen. Apa pun dia menunggu kami menunaikan solat subuh di masjid Langgar dan kemudan membawa kami ke Bachok.

Saya terfkir bagaimana cara hikmah nak tahu dia dah tunaikan solat subuh. Lantas saya bersuara’ boleh saya tanya sesuatu yang saya selalu mushkil?’ pemandu teksi menjawab’ apa dia kak?’ ‘ saya mushkillah bila agaknya pemandu teksi tunaikan solat jika selalu nak kejar penumpang kerana saya selalu lihat di shah alam waktu solat jumaat pun ,mereka masih membawa penumpang. ‘eh.. saya solat tadi kak.. bas belum sampai dah masuk subuh saya dah solat. ‘eh saya tak kata awak tak solat.. saya hanya muskil sebab pada saya rezeki tu ada kaitan dengan solat, banyak solat banyaklah rezeki…saya berceramah. Lega hati dapat selsai soalan samada pemandu teksi yang saya naik sudah tunaikan solat subuh.

Sepanjang perjalanan ke Bachok kami dapati banyak rumah yang daif dan ramai lagi masyarakat yang masih miskin di kelantan. Walaupun Bachok akan menjadi bandar pelancungan negeri Kelantan, tidak mudah negeri kelantan membasmi kemiskinan rakyat kerana memerlukan belanja yang banyak. Mana mungkin Negeri Kelantan dapat membelanjakan wang dengan mewah seperti kerajaan persekutuan kerana semua bujet persekutuan di salurkan ke Jabatan Pembangunan Persekutuan yang akan membantu wakil-wakil BN menabur budi kepada segelintir rakyat yang menyokong mereka. Tapi yang ketara orang kelantan tabah dan rajin bekerja. Banyak warong-warong kecil menjual makanan di sepanjang perjalanan. Kami singgah di sebuah kedai yang di kuasai wanita sebagai penjual dan pelayan malah pekerja di dapur semua wanita. Nampak masakannya enak dan panas. Mereka hanya menjual nasi berlauk, lauknya ayam kampong panggang dan goreng. Kebetulan kami sedang lapar saya rasa makanan pagi itu adalah yang tersedap saya pernah rasa. Apabila kami keluar kami pun tercari-cari nama kedai untuk recommend pada orang lain nanti. Rupanya tidak ada nama, lalu saya dan suami beri nama sendiri ‘warong mawaddah’. Nanti bila orang tanya di mana? kita akan tunjuk hala iaitu 500 meter sebelum simpang ke Sudara Beach Resort perjalanan dari Kota Bharu.

Bercerita tentang kualiti hidup rakyat kelantan saya amat kagum bagaimana mereka mampu mengawal harga makanan walaupun harga beras telah naik dan sekarang ini harga bahan api khususnya petrol naik harga 100%. Kualiti hidup kerana harga makanan murah satu, tapi cara mereka hidup bagaimana? Begitu juga bagaimana cara menyediakan makanan dan melayan pelanggan? Saya kurang pasti. Pada saya kualiti hidup selain dari barang keperluan mudah di dapat keseluruhan hidup rakyat mesti terarah kepada kebaikan, ketenangan, kesejahteraan dan selamat dari sebarang ancaman. Kalau dengan mendadak harga petrol naik maknanya rakyat selalu terancam dan terpaksa berkali-kali menyusun cara hidup dan mengurangkan keselesaan. Kesah pemandu teksi yang kami naik sebagai contoh kerana ketara sekali tekanan yang di hadapinya untuk menyara anak seramai 6 orang yang masih kecil

Saya terkesan bila pemandu teksi menegur suami saya yang berumur 57 tahun nampak tenang tidak tertekan seperti dirinya yang walaupun baru berumur 40 tahun tapi nampak macam 50 tahun Bila di tanya rahsia tersebut suami saya hanya menjawab, percaya Allah memelihara dan membantu kita dan taat dalam beribadat. Mungkin suami saya mudah bercakap kerana kualiti hidupnya tidak seperti pemandu teksi yang terkejar-kejar mencari sesuap nasi dengan menunggu pelanggan bas ekspress. Ini bezanya kualiti hidup yang kian menurun sekarang. Maksudya bukan mudah untuk tenang dalam kesempitan hidup yang menekan dimana semua barang menjadi mahal. Bagi yang tenang menerima gaji bulanan atau pesara yang mendapat pencen sekurang-kurangnya ada masa menunggu cukup bulan, tapi bagi pekerja sendiri, penjual makanan dan pembawa teksi kualiti hidup tidak menentu. Kadang-kadang selesa, kerapkali tertekan dengan pelbagai masalah. Apatah lagi sekarang ini cuaca di kelantan amat panas mencicah 35 degree celcius. Darah ramai pekerja pun naik macam cuaca juga.

Satu pemerhatian sedih saya ialah sikap kurang menjaga tandas awam supaya bersih dan selesa sepanjang perjalanan ke kelantan . Saya cuba menggunakan tandas masjid ArRahmah yang baru siap di Sudara Beach Resort. MasyaAllah dalam keadaan masjid yang baru pun tandas tak boleh nak guna, mungkin kekurangan air agaknya. Begitu juga keadaan tandas di Sudara Beach Resort dan Hotel Raudah ia banyak lagi ruang untuk di perbaiki untuk menyesuaikan dengan taraf masing-masing. Mungkin sikap kita umat Islam yang tidak begitu selesa bercerita tentang tandas menyebabkan tidak ramai yang sanggup menegur termasuk tandas rumah kita sendiri mungkin?? Atau sikap saya yang terbiasa dengan R&R PLUS dan hotel yang di jaga dengan baik. Mungkin tempat pelancung kini sukar mencari pekerja yang ada budaya bersih dan kekal bekerja. WaAllahu’alam.

Sewaktu mengangkat beg untuk pulang suami saya tergeliat urat pinggang. Nak buat macam mana terpaksa tanggung sakit kerana waktu kena itu pula bertepatan majlis penutup seminar. Ada seorang pelajar yang mahir mengurut membantu sebentar, namun sakitnya berlanjutan. Kami batalkan program melawat kolej Almanar dan terus ke hotel Raudah untuk berehat dan mencari bengkong atau koyok di farmasi. Sebelum itu saya tergerak nak ke kedai Jaffar Rawas bertanya minyak urut, terus taukehnya pak Abdullah memegang suami saya dan menyatakan dia pakar mengurut dan memperkenalkan minyak lemak belalang yang mujarab katanya. Dia pun mengurutlah suami saya baru nampak lega sedikit. Apapun banyak juga ubat yang kami beli dek kuat promosi taukeh kedai itu dan malamnya suami saya masih rasa sakit dan sukar nak menunaikan solat terutama ruku’ dan sujud. Itulah sekelip mata saja kalau nikmat yang kita rasa Allah nak di tarik. Banyak-banyaklah bersyukur wahai orang-orang yang masih sihat dan belum tergeliat urat saraf.

Kami juga dapat berita sedih sewaktu berada di Bachok Kelantan. Seorang teman lama Izhar Saad yang sama-sama berusrah sejak tahun 80an di beritakan telah meninggal dunia pada hari Isnin 2 Jun 2008. Kami terkejut kerana dia sihat dan bertenaga, baik hati, warak dan banyak berjasa. Tahun 2004 arwah pernah bertanding pilihanraya tiket Pas di Perlis, tapi kalah di tangan calon BN. Kami berdua berdukacita pagi itu dan mendoakan arwah Izhar di semadikan bersama-sama ruh orang-orang yang soleh, amin. Iktibarnya maut itu sentiasa mengintai kita terutama dalam umur 60-70 tahun kerana Nabi saw pernah bersabda “umur umatku antara 60-70 tahun.” Akhir-akhir ini suami saya banyak mendengar berita rakan dan kenalannya meninggal dalam keadaan yang tidak di jangka, sedang minum, bersembang, berwuduk dan solat. Sama-samalah kita membuat persiapan bekalan yang cukup dan berterusan di alam barzah nanti. Saya juga impikan macam ustaz Yakub pernah katakana:,jika kita wakafkan segalanya kerana Allah untuk mengadakan program menyatukan sekolah tahfiz di seluruh dunia dan buat kerja dakwah di mana harap-harap masa kita dalam kubur akan dapat berita bekas pelajar tahfiz berceramah dan berdakwah di mana-mana muka bumi ini, alangkah indahnya amal soleh ini hasil usaha kita mendidik mereka?. Inilah sebabnya saya dan suami kuatkan semangat naik bas ekspress eksekutif malam ahad itu untuk sampai ke Bachok Kelantan pagi Isnin hadir seminar Alquran Asia pasifik. Kami berdoa kehadiran kami yang daif dan kerdil serta rasa amat kecil di sisi mereka yang mampu berkomunikasi bahasa Arab di terima Allah dan menjadi amal soleh kami di akirat insyaAllah.

Kepada semua ahli kohatsa yang senior dan junior sambutlah seruan mak uda dan pak uda agar sentiasa mendampngi dan menghafal ayat Alquran sebagai tanda keimanan kita yang kukuh kerana di dalamnya tercatit banyak hikmah, pengajaran dan hidayah untuk kebahagiaan hidup kita dunia dan akhrat. Jika ada lebih kemampuan berdermalah ke jalan Allah antaranya menyumbang dan membantu institusi tahfiz sebagai harta wakaf kohatsa, insyaAllah. Semua sumbangan bolehlah di hantar terus kepada pengerusi Kohatsa merangkap mudir wakaf kita nanti iaitu Mak Ngah yang akan menjaga Mahaad Uthman Alaffan almanar Tangkak Johor WaAllahua’lam

Bilik 308
Hotel Ansar Kota Bharu Kelantan
4 Jun 2008


KERTAS CADANGAN MEMBANGUNKAN MAHAAD TAHFIZ UTHMAN AL AFFAN DI JALAN SOLOK TANGKAK JOHOR


TUJUAN

Berikutan lawatan Ustaz Yakub dan Mas Othman ke Tangkak untuk meninjau pembinaan mahaad tahfiz cawangan Almanar di Tangkak di maklumkan bahawa hanya satu kawasan iaitu tanah di Jalan Solok sesuai untuk maksud tersebut. Ini di sebabkan mengujudkan mahaad kena mengambilkira kemudahan pelajar dan keluarga menziarahi dan keselesaan guru untuk tinggal di tempat mengajar.

LATARBELAKANG

Ustaz Yakub selaku mudir Almanar telah menjemput dua ahli Kohatsa menyertai Seminar Tahfiz Alquran di Bachok baru-baru ini dan di fahamkan sebuah gabungan sekolah-sekolah tahfiz Asia Pasifik telah pun di persetujui untuk memertabatkan sekolah tahfiz ke tahap antarabangsa dari segi kurikulum, pengisian modul dan aktiviti pelajar.

Di galakkan agar Kohatsa segra merancang membina Mahaad tahfiz di Tangkak supaya tidak ketinggalan dalam perancangan Asia Pasifik. Di cadangkan juga agar ia bermula di kawasan Bandar Tangkak supaya mudah di kunjungi dan promosi mudah di jalankan.

RASIONAL MENUBUHKAN TAHFIZ ALMANAR

Alquran merupakan cahaya di bumi sama seperti bintang di langit. Ia memberikan petunjuk kepada hati yang gelap dan jalan terbaik untuk memulihkan diri, ahli keluarga dan masyarakat. Harapan kohatsa agar anak-anak, cucu, cicit, saudara mara dan kenalan dapat mengisi dada masing-masing dengan kebesaran ayat alquran. Alquran memberi syafaat kepada insan di alam kubur dan barzah. Ia menjadi teman sejati dalam kesempitan.


CADANGAN

Di cadangkan tanah di Jalan Solok di jadikan wakaf Kohats dan di bina di atasnya sebuah mahaad Tahfiz yang mampu memuatkan antara 30-50 pelajar dan dua kelamin guru. Mudir di cadangkan daripada Pengerusi Kohatsa sendiri yang sedia pada masa ini mengajar AlQuran di rumahnya. Malah pelajar sedia ada boleh menggunakan premis Mahaad jika ingin mempromosi tempat tersebut untuk anak cucu, jiran, kenalan dan saudara mara mereka.

Antara keperluan asas Mahaad ialah bilik darjah dan asrama, bilik guru dan rumah guru yang boleh di bina sekali atau berdekatan. Kos termasuk memulakan premis mengikut anggaran yang berlaku di Terengganu adalah sekitar RM250,000 (Ringgit Malaysia Dua Ratus Lima Puluh Ribu sahaja)

KAEDAH MENCARI DANA

Dua cara mencari dana, pertama dengan mencairkan aset ahli kohatsa yang ada dan kedua mendapat sumbangan ikhlas daripada mana-mana ahli Kohatsa yang mampu. Harapannya agar kemasukan pelajar nanti dapat manampong kos guru dan penyelenggaran Mahaad. Bujet RM250,000 itu pun termasuk belanja Mahaad dalam tempoh 6 bulan pertama.

CADANGAN MEMULAKAN PROJEK

Secara sukarela ahli Kohatsa boleh menawarkan khidmat ikhlas dalam bidang yang mereka mampu untuk di sampaikan kepada pihak AlManar. Sebagai contoh Dato’ Muhammad Safaruddin di minta menjadi Penasihat projek, Masothman penasihat rakabentuk. Hajjah Nortipah sebagai Mudir dan Datin Noraini sebagai yang bertanggongjawab mencara dana.

Perancangan projek ialah bermula bulan oktober dan siap dalam tempoh 11 bulan. Perbincangan perlu diadakan setiap bulan untuk memastikan projek tidak tergendala.


SYUR

Kohatsa mengambil keputusan untuk mengadakan Mahaad tahfiz dan mohon cadangan daripada ahli yang lain iaitu Kohatsa 1 dan 2. Tabung wakaf boleh di mulakan dan pemegang amanah di lantik. Laporan akan di bentangkan setiap bulan mesyuarat Kohatsa. (Di sertakan untuk rekod dan simpanan maklumat seminar yang ada kaitan dengan kedudukan masa depan wakaf mahaad tahfiz kohatsa.)


Di sediakan noraini md top
Kota Bharu kelantan
5 Jun 2008

No comments: